fbpx

Ibu Bapa Penyayang Perlu Jadi Pendengar Setia Anak

ibu-bapa-pendengar-anak

ANDA IBU BAPA YANG TERUK KERANA TIDAK MAMPU DIAM

Pernah anda memotong percakapan anak-anak?

Sekiranya ya, anda tergolong dalam kalangan pendengar yang buruk.

Mengapa? Sebab kita tidak memberi peluang kepada mereka untuk memberi penjelasan, malah sebaliknya kita pula memintas dengan penjelasan kita.

Dalam hemat kita, apa yang diluahkan anak itu hanya sekadar mengada-ngada dan belum tentu benarnya.

Dan jika hemat kita itu benar sekalipun, cara ini juga pasti akan menyakitkan hati anak-anak.

“Sudah, jangan banyak alasan. Mak kenal sangat dengan perangai kamu yang degil tu”

“Jangan tipu mak! Mesti kamu yang buat adik kamu tu menangis lagi bukan?”

Apabila situasi sebegini sering berlaku tanpa kita terlebih dahulu ingin memahami keadaan, anak-anak akan mula bosan terhadap kita.

Mereka kecewa. Perasaan mereka memberontak.

Ia menyebabkan mereka hilang bicara dan tidak ingin memberitahu lagi apa sahaja cerita kehidupannya kepada kita lagi.

Mereka akan membenarkan apa sahaja kesimpulan kita terhadapnya sehinggakan melakukan betul-betul perilaku seperti yang dituduh oleh kita.

KESANNYA AMAT BESAR

Anak-anak sudah tidak mahu mendengar nasihat kita lagi. Apabila kita mahu bercakap dengan mereka, mereka meninggalkan kita sebelum sempat kita habis bercakap dengan mereka.

 

IBU BAPA HARUS MENJADI PENDENGAR YANG BAIK KEPADA ANAK-ANAK

Golden rule dalam mendidik anak-anak adalah, kita harus memberi contoh terlebih dahulu.

Benar, supaya anak-anak mendengar cakap kita, kita yang terlebih dahulu harus mendengarkan apa yang dikatakan oleh mereka.

Menjadi pendengar yang baik bermakna kita harus sanggup diam dan mendengar dengan aktif.

Dengan cara ini, secara tidak langsung kita juga mendidik anak-anak kita agar mendengar setiap kata-kata dan nasihat kita.

Antara salah satu kemahiran komunikasi yang berkesan dengan anak, tetapi jarang dapat dilakukan oleh kebanyakkan ibu bapa, adalah kemahiran untuk diam.

Maksudnya disini, kita tahu bila waktu kita perlu diam bagi memastikan kita sentiasa berpengaruh.

Sebenarnya kemahiran ini tidaklah sukar; kita hanya perlu memberikan perhatian dan perlu menunjukkan minat semasa anak sedang bercakap.

Jangan sesekali memotong percakapan dan mentertawakan penjelasan mereka.

Jiwa kanak-kanak (dan remaja) boleh menjadi sangat sensitif, kerana jika kita mempermain dan memperlekehkan bicara mereka, ia membuatkan mereka merasa kecil hati dan kecewa dengan kita.

Lagipun ia juga akan merendahkan peranan kita sebagai pendengar utama luahan hati mereka.

Bagitu juga ketika anak-anak datang bertanyakan sesuatu perkara kepada kita. Adakah kita melayan mereka?

Anak-anak datang bertanya, bukan mengganggu kita.

Memang kadangkala kita mengganggap anak-anak kita sebagai mengacau kerana pertanyaan mereka langsung tidak penting dan bicara kosong. Malah kadang-kadang, jawapan kepada persoalan yang dilontarkan membuatkan kita rasa mereka masih terlalu mentah bagi memahaminya.

Kita jangan lupa, tiada siapa yang suka percakapannya dipotong, walaupun anak kecil.

Apatah lagi diherdik dengan kata-kata seperti, “kamu ini banyak sangat cakap. Diam boleh?! Cakap tak henti-henti mengalahkan orang tua pula”

Ini adalah satu perbuatan yang tidak betul dan memberikan kesan buruk.

Daripada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar kanak-kanak, apa yang didapati adalah sebenarnya kanak-kanak sedang belajar melalui interaksi dengan orang lain ataupun masyarakat. Semakin ramai orang yang kanak-kanak tersebut berinteraksi, semakin banyak ilmu yang dipelajari olehnya.

Jadi mengapa kita harus merencatkan proses pembelajaran mereka?

 

PENUTUP: DIAM DAN JADILAH PENDENGAR YANG BAIK KEPADA ANAK

Abu Darda’ pernah menyatakan;

“Cukuplah dosa untuk kamu yang suka berbantah-bantah dengan orang lain.”

Walaupun kita sedang geram sekali pun, janganlah kita memotong percakapan anak dan menyerang pula mereka dengan peluru-peluru pertanyaan dan kemarahan.

Kita ibu bapa mereka, pada dasarnya mereka mengganggap kita sebagai tempat mengadu dan penyelesai masalah yang diharap-harapkan.

Mereka mengharapkan ibu bapa mendengar konflik yang sedang mereka hadapi.

Maka, dengarlah dan dengarlah sambil memberi tanggapan positif. Berikan mereka ruang dan peluang untuk membicarakan segalanya. Jangan pernah meremehkan mereka.

Bila mereka telah diam, maka tiba giliran kita untuk memperbetulkan segala permasalahan yang berlaku.

InsyaaAllah, anak-anak lebih mudah terkesan dengan bicara yang sopan dan penuh hikmah.

 

Sumber: tudungsicomel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *