Kanak-kanakTips

Cara Ajar Anak Supaya Dengar Cakap Tanpa Perlu Terjerit-Jerit

cara-anak-dengar-cakap

Mengapa menjerit? Alasannya, jeritan akan membuat anak berasa takut dan ikut arahan yang diminta. Ada juga menjadikan jeritan sebagai salah satu cara untuk memastikan anak mengikut suruhan dengan cepat terutama ketika keadaan menjadi kelam kabut di awal pagi.

Amalkan tip dan teknik ini dan anda tidak perlu menjerit dan dijerit. Teknik ini perlu dilakukan secara konsisten dan jadikan ia sebagai amalan seumur hidup. In sha Allah akan berhasil jika anda benar-benar mahukan perubahan ini.

 

1. TERIMA KASIH DAN MAAFKAN SAYA

Rutinkan ucapan terima kasih dan maafkan saya sebagai ucapan harian yang wajib ada di rumah atau di sekolah. Ucapan ini melatih anak untuk rasa dihargai dan menghargai.

 

2. TENANG DAN KAWAL

Bertenang, bertenang dan bertenang walaupun keadaan kelam-kabut. Kanak-kanak adalah pemerhati terbaik dan mereka akan lihat dan ikut bagaimana anda urus diri anda ketika waktu tenang atau waktu kelam-kabut. Ketika anda mulai rasa kelam-kabut, ambil masa 10 saat untuk bernafas dengan baik dan bertenang. Kawal emosi anda dan anda akan lihat keadaan menjadi tenang dan terkawal. Katakan “Semuanya terkawal dan saya amat tenang sekali”.

 

3. SUARA LEMBUT DAN SOPAN

Ajari anak menggunakan suara lembut dan sopan. Tunjukkan melalui teladan. Anak-anak perlu diajar cara bercakap dalam keadaan suara yang lembut dan sopan. Guru terbaik adalah anda. Jika anda mahu anak bercakap dengan suara yang lembut dan sopan, anda juga perlu berbuat demikian. Hasilnya anda tidak perlu menjerit dan dijerit oleh anak-anak.

 

4. KAEDAH BERI ARAHAN ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN

Kaedah beri arahan kepada anak lelaki dan perempuan tidak sama. Otak anak lelaki adalah monotrek bermaksud otak anak lelaki fokus pada satu perkara dalam satu masa. Ini bermakna, anak lelaki perlu diberi satu arahan dalam satu masa. Selepas anak menyelesaikan tugasan tersebut, barulah ditambah dengan arahan seterusnya. Cara ini membantu anak untuk faham arahan dengan mudah.

Otak anak perempuan bersifat multitasking. Anda boleh memberi 2 hingga 3 arahan kepada anak perempuan untuk diselesaikan dalam satu masa. Contohnya: “Sofea, tolong ibu angkat pingan, cawan dan sudu dan letakkan di dalam sinki.”

 

5. BERIKAN PUJIAN

Berikan pujian, sokongan, kata-kata semangat, pelukan, tepukan atau hadiah berupa makanan berkhasiat, peralatan tulis atau stickers kepada anak sebagai hadiah galakan dan motivasi ketika mereka mendengar kata, berjaya melakukan tugasan yang diminta dan bertutur dengan sopan.

 

Anda adalah contoh utama dan pertama yang akan diikuti oleh anak-anak. Perbuatan dan perbualan anda perlu seiring dan sejalan dengan apa yang anda mahukan dari anak-anak. Jika mahu anak mendengar kata tanpa menjerit dan dijerit, berbuallah dan bertindaklah dengan tenang dan konsisten.

“What you give, you get back”. Selamat mencuba dan semoga tip dan teknik ini membantu anda dan anak anda.

 

Sumber: awal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *